CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, March 11, 2008

Sumbangan dan peranan Beliau dalam bidang sastera


Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanah air, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Beliau bukan saja hidup sebagai pencipta karya yang asli dan halus, malah sebagai penggerak yang berani kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an, beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi, dan Genta Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti seni lainnya. Antologi puisi “Keranda 152” dan “Teluk Gong” adalah hasil daya usaha Usman Awang bersama-sama penyair-penyair lain.

Sebagai penyair dan dramatis, Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, dan Rusia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czechoslovakia, Danish, Tamil, Itali dn Rusia. Barangkali beliau adalah penyair Malaysia yang paling banyak puisinya diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan dikenali di luar Negara. Usman Awang masih terus memainkan peranannya dalam kesusasteraan Melayu. Beliau masih menulis. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Anugerah ini berupa surat penghargaan dan wang tunai RM10 000.00. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau telah dilantik menjadi Setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah panel penilai anugerah kesusasteraan yang tinggi di tanah air.


Dalam tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A Write Awards. Pada 11 Ogos 1983, Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985, iatu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991.

1 comments:

너의 친구, 아미 said...

i'm looking for this. thankyouuu for this information :)