CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, March 19, 2008

Panduan penulisan puisi

Puisi yang bermutu ialah puisi yang mempunyai keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memberi keindahan bahasa dan keindahan makna pada sesebuah puisi itu. Oleh itu, seseorang yang hendak menulis puisi mestilah mengambil kira aspek keseimbangan ini.Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi tersebut. Ciri-ciri ini dapat dilihat. Baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa, dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi.Struktur dalaman puisi terdiri daripada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seseorang penyair dalam sesebuah puisi. Antara tema dalam puisi termasuklah keagamaan, kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi, dan politik. Perasaan ialah suasana perasaan penyair yang diikutsertakan dalam puisi dan dapat dihayati oleh pembaca. Perasaan tersebut mungkin simpati, sedih, benci, marah, kasihan, pasrah, dan sebagainya. Nada ialah sikap penyair penyair terhadap pembaca. Sikap penyair mungkin menggurui, mengejek, menasihati, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Mesej ialah perkara yang mendorong seseorang penyair itu menulis puisi. Mesej tersirat di sebalik tema yang diungkapkan.

Persediaan menulis puisi

Seseorang yang hendak menulis puisi haruslah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain untuk tujuan memperluas kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mestilah sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan keterampilan dalam penulisan puisi. Untuk itu, dia juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Semua ini merupakan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang itu menulis puisi.

Sejarah Penulisan Puisi

Sejarah Awal Puisi Melayu Moden Secara Ringkas
Penulis Melayu yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk “Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional. Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember 1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah, “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan hati”, dan “Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan perkembangan puisi Melayu moden disusuri.

bimbingan berkarya puisi moden

Definisi Puisi Moden
Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai,”khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu. Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba di atas memperlihatkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.Definisi puisi yang dikemukakan oleh Za’ba lebih merupakan definisi dari sudut pandangan seorang pengkaji. Definisi puisi yang dikemukakan oleh seorang penyair dan sekali gus sarjana sastera pula, iaitu Muhammad Haji Salleh, puisi ialah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijakan penyair dengan tradisinya. Dalam segala sifat kekentalannya itu, puisi setelah dibaca akan menjadikan kita lebih bijaksana.Daripada penyair Inggeris di Barat pula, Wordsworth, mendefinisikan puisi sebagai pengucapan tentang perasaan ghairah yang imaginatif, biasanya berentak ... curahan perasaan yang kuat secara spontan yang diingatkan kembali dalam suasana yang tenang. S.T. Coleridge, juga seorang penyair Inggeris, mendefinisikan puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik. Masih banyak lagi definisi puisi yang dikemukakan oleh pengkaji puisi dan penyair. Namun, daripada sejumlah kecil definisi yang diberikan itu dapat memberikan ciri-ciri puisi yang bermutu tinggi.

Umbara sastera

Wednesday, February 27, 2008

Umbara Sastera
PEN akan mengadakan majlis yang diberi nama UMBARA SASTERA berdasarkan ketetapan yang berikut :Tarikh : 1 Mac 2008 (Sabtu)Masa : 10 pagi - 12 tengah hariTempat : Perpustakaan Awam Seremban Kediaman Ketua Satu PENNo. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, SerembanTetamu :Puan Mahaya Mohd YassinPuan Nisah Haji HaronEncik Amiza Khusyri YusufPuan Syarifah Salha Syed AhmadKonsep :Umbara ertinya kembara atau jelajah. Umbara Sastera berhasrat untuk membawa mereka yang mengambil bahagian mengembara minda dengan pelbagai cara. Menggunakan konsep ala-ala bicarawara, peserta boleh membaca naskhah, memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu, menggugah peserta dengan idea yang boleh dibincangkan, atau mempersembahkan (mendeklamasi) puisi moden, puisi tradisional, ataupun apa yang difikirkan sesuai dengan konsep yang dicadangkan.

Wednesday, March 12, 2008

Karya-Karya Terkenal

Kurang Ajar

Sebuah perkataan yang paling ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata itu kuajar akan pada anakku;
Kau harus jadi manusia yang kurang ajar
Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar.

Mahasiswa.

Mahasiswa dari kota tanah air
Bangunlah!
Angkat matamu dan buku
Lampaui dinding lampaui tembok
Semua menunggu
Mengajakmu
Bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
Sebaris dengan kami
Para buruh dan petani di jalan sungai besi
Sederap belajar dari hidup berani.

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
Atau bersama berjalan ke parlimen
Kerana tenagamu dengan ilmu di dada
Akan merombak erti hidup sebuah Negara.

Bunga Popi

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,
Rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,
Hasil manusia gila perang membunuh mesra,
Bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,
Kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,
Perang dalam kenangan penuh kengerian,
Sekarang dalam kepahitan, dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,
Hilang pergantungan, hilang pencarian, hidup kebuluran,
Ribuan janda, ribuan kecewa, ribuan sengsara,
Jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!
Perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!
Perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!
Perang berlangsung menghancur lebur nilai kebudayaan!

Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,
Bunga darah merah menyimbah, penuh kengerian,
Kami benci pada perang penuh pembunuhan!
Kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Sifat Usman Awang

Dato' Usman merupakan seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis.

Antara lain, Dato Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”

Dato' Usman Awang, penyair yang berjiwa rakyat meninggal pada 29 November 2001 pada bulan Ramadan. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.